IPOH, NOVEMBER 14: HIMPUNAN…Pertubuhan Pribumi Perkasa Melaysia (Perkasa) Perak menyokong penganjuran Himpunan Perpaduan Ummah yang dijangka diadakan Sabtu ini di Pasir Salak.

Ketua Penerangannya, Mohd Safian Sauri Pandak Abd Samad berkata, sejak akhir-akhir ini, kedudukan Islam, Raja-raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan sedang diganggu-gugat di segenap penjuru.

“Kita berpendirian akan menyokong usaha yang membawa kepada kekukuhan umat Melayu dan Islam tanpa mengira mana-mana parti politik dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perkasa Perak berharap program sebegini dapat diteruskan secara konsisten dari masa ke masa,” katanya sebagai mengulas mengenai Himpunan Perpaduan Ummah.

Beliau berkata, pihaknya melihat usaha seperti itu perlu dialu-alukan bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat.

Difahamkan himpunan yang turut dihadiri Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu juga bertujuan menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).-MY WD