BAGAN DATUK, 19 Nov – PERSEIMBANGAN…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Institusi keluarga harus diperkasakan dalam usaha mewujudkan perseimbangan sosial di antara ibu bapa dan anak yang kini semakin rapuh.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan ketika ini masalah sosial dalam kalangan remaja dan kanak-kanak di negara ini ini sangat membimbangkan semua pihak termasuklah kes buli dan pembuangan bayi.

“Institusi keluarga harus diperkukuh dan diperkasa agar anak-anak tidak liar di luar rumah. Kita tidak mahu ibu bapa terlalu sibuk dengan hal pekerjaan sehingga keprihatinan anak-anak terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Keselamatan Kanak-Kanak sempena program Negaraku_KeluargaBahagia_KPWKM anjuran Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat di Sungai Sumun di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut mengingatkan keluarga dan pihak sekolah supaya tidak mementingkan penjagaan imej dan nama baik semata-mata sehingga sanggup tidak melaporkan kepada pihak polis sekiranya anak atau pelajar menjadi mangsa buli.

Katanya berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 2,322 kes buli dilaporkan sejak 2012 hingga Jun tahun ini.
“Itu adalah jumlah kes yang dilaporkan.

Bagaimana pula kejadian buli yang tidak dilaporkan kepada pihak polis?, Ketepikan sikap malu dan mahu menjaga imej, kerana apa yang harus dilakukan adalah melaporkan kepada polis agar siasatan dan tindakan dibuat.

“Kalau sorok sesuatu ia tidak akan menyelesaikan masalah, malah ia (kes) akan turut bertimbun sehingga berlakunya ‘Snowball (masalah makin membesar) sedangkan kita mahu menjadi negara maju,” katanya.

Katanya tiada erti Malaysia bergelar negara maju sekiranya jenayah dalam kalangan kanak-kanak masih berleluasa dan tidak dibendung. – WD MY