PUTRAJAYA, 14 Mac – KERJASAMA….. Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi akan memperkukuh kerjasama dua hala terutamanya dalam bidang anti keganasan dan jenayah rentas sempadan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata isu keselamatan bersama kedua-dua negara itu dibincangkan dalam perjumpaan beliau dengan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud Al-Saud hari ini.

Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, Malaysia dan Arab Saudi telah menandatangani Perjanjian Kerjasama Keselamatan pada 18 April 2011.

“Malaysia amat menghargai hubungan kerjasama sedia ada dengan Arab Saudi.

“Sebagai usaha ke arah memerangi ancaman jenayah rentas sempadan di rantau ini, Malaysia juga amat mementingkan hubungan dua hala akrab dengan negara-negara di rantau Asia Barat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Putera Abdulaziz Saud Al-Saud yang dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri pada 21 Jun tahun lepas, kini dalam lawatan kerja tiga hari ke Malaysia, bermula semalam.

Beliau merupakan menteri termuda yang memegang jawatan Menteri Dalam Negeri di Arab Saudi.

Putera Abdulaziz Saud Al-Saud pernah berkhidmat dalam sektor swasta selama beberapa tahun sebelum berkhidmat dalam Jawatankuasa Tertinggi Anugerah Putera Nayef bin Abdulaziz bagi Sunnah Nabi dan Pengajian Islam Kontemporari. – WD MY