KUALA LUMPUR, 7 Jan – Hargai…… Kawasan Tanah perkuburan perang perlu diberi
penghormatan tertinggi dan bukannya dirosakkan, kata Persatuan Veteran Kaum Cina
Tentera Darat Malaysia (MACVA).
Bagi Anggota jawatankuasa perhubungan awam MACVA Kapten (B) Dr Wong Ang Peng
berkata perbuatan merosakkan tanah perkuburan perang sangat dibenci kerana ia
memaparkan sikap tidak menghormati dan menghina anggota tentera yang sudah
tiada.
“Tanah perkuburan perang merupakan tempat persemadian terakhir untuk
pahlawan perang yang memberikan nyawa mereka untuk pembebasan dan kedaulatan
negara, oleh itu ia mesti dihormati oleh setiap rakyat di negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai laporan berita baru-baru ini
bahawa beberapa batu nisan di Tanah Perkuburan Perang Taiping, Perak, yang
menjadi tempat persemadian tentera Perang Dunia Kedua, didapati dirosakkan dan
pecah.
Wong berkata anggota MACVA sangat kecewa dengan perbuatan pihak tidak
bertanggungjawab     itu kerana sebagai veteran tentera, mereka menghargai
pengorbanan yang dilakukan pejuang negara bagi memastikan rakyat terus hidup
dalam aman dan damai.

“Orang ramai perlu sedar bahawa setiap wira perang dan veteran telah
berkhidmat kepada raja dan negara dengan bangga dan gagahnya, justeru, tanah
perkuburan perang wajar dijadikan sebagai warisan negara, satu lagi sejarah
negara.

“MACVA menggesa pihak berkuasa tempatan agar menangkap pesalah dan
menjatuhkan hukuman setimpal bagi mengelakkan kejadian vandalisme terhadap tanah
perkuburan perang berlaku di masa hadapan,” katanya. – WD MY