KUALA LUMPUR, 23 Mac – Tidak Menerima…. Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima permohonan daripada mana-mana pihak termasuk Korea Utara untuk menyiasat kes pembunuhan Kim Jong-nam menurut┬áKetua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata pihak yang mahu menjalankan siasatan perlu mendapat kebenaran PDRM.

Mengulas khabar angin perisik Korea Utara tiba ke negara ini untuk menjalankan siasatan sendiri, beliau berkata pihaknya tidak tahu bagaimana ia boleh dilakukan dan tiada tindakan akan diambil selagi mereka mematuhi undang-undang negara ini.

“Bukan setakat ejen atau perisik, sesiapa saja walaupun pihak berkuasa negara luar yang nak lakukan siasatan secara berasingan perlu mendapat kebenaran polis.

“Mereka tiada kuasa menyoal siasat, melihat dokumen dan sebagainya. Jadi, siasatan itu (sekiranya dibuat tanpa kebenaran) adalah salah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menerima sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sorento daripada Naza Kia Malaysia Sdn Bhd di Bukit Aman, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal berita mendakwa ejen perisik Korea Utara tiba ke negara ini untuk menyiasat sendiri kematian Jong-nam, yang dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Februari lalu.

Tindakan itu didakwa dibuat selepas Malaysia menolak hasrat Pyongyang untuk menjalankan siasatan bersama berhubung kes terbabit. – WD MY