KOTA TINGGI, 21 Ogos – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata apa juga permasalahan yang dihadapi UMNO pada masa ini boleh diselesaikan menerusi kerjasama antara ahli dan pemimpin.

“Kita perlu ada kesalingan (bergantung). Mustahil ada pemimpin atas kalau tak ada yang kat bawah. Yang kat bawah (ahli) pun perlu atasan,” katanya.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, permasalahan dalam parti adalah putaran harian politik dan ia turut dihadapi oleh parti pembangkang.

“Jangan ingat UMNO sahaja ada permasalahan, DAP pun ada masalah dinasti, PAS ada masalah sampai ada GHB (Gerakan Harapan Baru), PKR ada masalah, dia nak tutup masalah kata kita ada masalah,” kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kota Tinggi, di Dewan Semai Bakti, FELDA Lok Heng Timur, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO tidak perlu bimbang kerana beliau yakin semua pemimpin dan ahli akan kembali bersatu.

“UMNO jangan risau, bila biduk berlalu kiambang akan tetap bertaut (akan kembali bersatu), ” katanya.

Berita Selanjutnya Menyusul

LEAVE A REPLY