KUALA LUMPUR, 3 Jun – Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd
(Perodua) menerusi pengedar sahnya Gamma Automobile membuka outlet 3S (jualan,
penyelenggaraan dan alat ganti) terbaharu di Sri Aman, Sarawak sebagai
sebahagian rancangan memperluas jaringan.

Presiden & Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Aminar Rashid Salleh berkata
Perodua mengunjurkan potensi pertumbuhan yang besar di Sarawak dan Sabah
memandangkan kerajaan persekutuan dan negeri terus membangun dan melabur dalam
prasarana seperti jalan dan jambatan.

“Menerusi pertumbuhan ini kami merancang meningkatkan sumbangan Sabah dan
Sarawak dalam jualan keseluruhan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus
sekarang dalam tempoh lima tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Untuk empat bulan pertama 2015, Perodua menjual 74,700 kenderaan mencakupi
kira-kira 35 peratus daripada volum keseluruhan industri dengan Sabah dan
Sarawak menyumbang 9,800 unit atau 13 peratus, katanya menambah 5,600 unit
dijual di Sarawak.

Perodua berkata 638,508 pemilik kenderaan menggunakan pusat
penyelenggaraannya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, naik 0.4 peratus
daripada 636,205 bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya Gamma Automobile, pengedar sah 3S Perodua sejak 1994, menjual
3,500 unit pada 2014 dengan 13,100 kenderaan mengunjungi pusat 3S di Kuching.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY