KUALA LUMPUR, 6 Jan – DITEMBAK…. Suspek yang dipercayai terbabit dalam kejadian samun kedai emas di sekitar Lembah Klang dan Negeri Sembilan, sejak 31 Disember lalu mati ditembak di Taman Connought, Cheras, di sini, malam tadi.

Suspek rakyat tempatan berusia 22 tahun sebelum itu dikesan memandu sebuah kereta jenis PERODUA Myvi dalam keadaan mencurigakan di kawasan Cheras oleh sepasukan polis dari Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (STAFOC) Bukit Aman dan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, yang menjalankan rondaan selepas menerima maklumat, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Sumber berkata, polis kemudian mengarahkan lelaki terbabit memberhentikan kenderaannya bagi tujuan pemeriksaan.

Ketika hendak diperiksa, suspek dikatakan enggan memberikan kerjasama dan menembak ke arah polis dari arah kenderaan kenderaannya.

“Polis kemudian membalas tembakan suspek bagi mempertahankan diri berikutan kerana tindakan suspek yang mengancam keselamatan pegawai dan anggota,” katanya.

Katanya, tembakan yang dilepaskan itu dipercayai mengenai suspek dan pemeriksaan polis di dalam kenderaan terbabit mendapati dia sudah meninggal dunia.

Hasil pemeriksaan awal polis di dalam kenderaan itu menemui sepucuk pistol digunakan suspek.

Hasil semakan mendapati suspek yang berasal dari Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang itu mempunyai rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis atas beberapa kesalahan termasuk memiliki senjata api dan cubaan samun. – WD MY