KLANG, 18 Jan – BERKAS……. Pihak polis mengambil masa  kurang tempoh 24 jam, menangkap suspek yang dipercayai merompak sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Jati yang pernah dirompaknya sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, suspek yang berusia 22 tahun itu ditangkap di sebuah rumah di Taman Mulia pada jam 1 tengah hari.

“Suspek mengaku terbabit dengan tiga kes samun pada 8 dan 28 Disember tahun lalu, serta semalam (kelmarin) di stesen minyak yang sama di Jalan Sungai Jati.

“Suspek yang positif dadah jenis syabu mengaku melakukan jenayah sendirian.

“Polis merampas satu topi keledar berwarna merah dengan tulisan MS88, dilengkapi visor gelap, sepasang selipar warna merah dan sehelai baju panas warna hitam putih.

“Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC warna biru perak, satu kunci motosikal serta sebilah parang berhulu kayu panjang berukuran kira-kira 57 sentimeter,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.

Shamsul Amar berkata, tangkapan itu susulan aduan pekerja di stesen minyak berkenaan yang dirompak suspek pada malam kelmarin.

“Pada jam 11.30 malam semalam, ketika pengadu berada di kaunter stesen minyak terbabit, dia didatangi suspek yang memakai memakai topi keledar warna merah, jaket hitam, seluar jeans warna biru lalu mengacukan parang ke arah pengadu dan memanjat meja kaunter.

“Pengadu memaklumkan anggaran kerugian kira-kira RM800, bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Sementara itu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi tujuh saat yang diperolehi polis menunjukkan suspek memanjat kaunter berkenaan seperti aduan yang dibuat pekerja terbabit.

Suspek turut mengacukan parang yang kemudian berjaya dirampas oleh polis. – WD MY