KOTA KINABALU, APRIL 6:PERPADUAN…Kewujudan rumah ibadat berbeza agama di lokasi berhampiran antara satu sama lain, memberi gambaran jelas betapa amalan toleransi kaum yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sabah.

Bagi rakyat negeri ini, perbezaan agama bukan halangan untuk hidup harmoni seperti di Kampung Tinanduk, perkampungan terpencil di Pegalungan, Pensiangan, kedudukan gereja dan surau dalam halaman sama.

Ketua Daerah Keningau, Mohd Amir Arif, berkata keadaan itu tidak menghairankan berikutan tahap toleransi agama dan persefahaman yang sangat tinggi masyarakat di Sabah, termasuk di kawasan pedalaman negeri ini.

“Walaupun berbeza agama dan latar belakang kaum, ia tidak menjadi halangan kepada masyarakat untuk bersatu. Malah jangan hairan kalau terjumpa tanah perkuburan yang menempatkan kubur orang Islam dan Kristian dalam satu kawasan.

“Bagi masyarakat di sini, ia tidak menjadi masalah asalkan tidak mencampuri urusan keagamaan masing-masing. Apa yang penting, saling menghormati dan memahami antara satu sama lain,” katanya.

Toleransi kaum

Apa yang ada di Kampung Tinanduk itu hanyalah antara contoh yang boleh dilihat di Sabah. Namun toleransi kaum dan agama adalah lebih meluas, merangkumi hampir segenap amalan kehidupan bermasyarakat rakyatnya.

Berdasarkan komposisi kaum di Sabah, sekurang-kurangnya ada 30 kumpulan etnik dikenal pasti dengan lebih 200 pecahan sub etnik, masing-masing mengamalkan budaya, agama dan kepercayaan berbeza.

Mohd Amir berkata, perbezaan itu tidak pernah menimbulkan isu yang menjurus ke arah perpecahan, malah sehingga kini semangat persefahaman, toleransi dan kerjasama antara kaum kekal kuat menjadikan Sabah sering dilihat sebagai contoh terbaik 1Malaysia.

Pencapaian itu bukan saja menjadikan Sabah sebuah negeri yang harmoni dari segi perpaduan masyarakat majmuk, malah turut membolehkan rakyat negeri ini menikmati kestabilan politik, ekonomi dan pembangunan.

Dalam hal itu, Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, sentiasa mengulangi sokongan dan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan amalan toleransi kaum dan agama di negeri ini terus kukuh serta tidak luput ditelan zaman.

Beliau turut menyatakan sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap usaha setiap etnik menerusi persatuan masing-masing dalam mengembang dan mempertahankan budaya serta kesenian masing-masing agar tidak pupus ditelan zaman.

“Di Sabah, kita pelbagai suku dan agama tetapi kita dapat hidup bersama disebabkan oleh semangat kekitaan yang tinggi. Hasilnya rakyat negeri ini dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni,” katanya.-MY WD