PUTRAJAYA, 25 Feb – Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia
(PERS1M) mendakwa pendapatan pemandu teksi terjejas antara 50 hingga 70 peratus
ekoran kewujudan perkhidmatan teksi persendirian menggunakan aplikasi telefon
pintar seperti Uber, GrabCar dan Blacklane

Menurut Timbalan Pengerusinya Kamarudin Mohd Hussain menggesa Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) memantau perkhidmatan teksi persendirian
sedemikian yang menjejaskan pendapatan pemandu teksi.

“Lesen pemandu teksi yang dikeluarkan kini telah melebihi permintaan semasa
kerana syarikat pelancongan turut dibenar mengendalikan perkhidmatan teksi …
apabila teksi seperti ini wujud kami terpaksa pula bersaing dengan mereka untuk
mendapatkan pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyerahkan memorandum
kepada setiausaha sulit perdana menteri, Saiful Azhar yang turut disertai
lebih 200 pemandu teksi Lembah Klang, di sini, hari ini.

Kamarudin berkata memorandum itu mengandungi 10 tuntutan yang antara lain
meminta kerajaan menyelaraskan sistem teksi negara memandangkan sistem pada masa
ini mengelirukan pengguna.

“Kami mahu ada satu sistem sahaja maksudnya jika sistem meter bagus,
dilaksanakan di seluruh kawasan, jika sistem kupon bagus dilaksanakan juga di
seluruh kawasan.

“Kami semua bersedia sahut seruan kerajaan agar sistem perkhidmatan teksi
ditingkatkan dan rayu kerajaan pertimbangkan permintaan kami,” kata Kamarudin.

Memorandum tersebut turut mencadangkan Pelan Migrasi Lesen Pengendali
diwujudkan agar pemandu teksi dibenarkan memiliki lesen teksi sendiri
selepas tamat perjanjian sewa beli, selain menyediakan kemudahan pembiayaan
kenderaan.

PERS1M, dengan kira-kira 500 pemandu teksi bernaung di bawahnya, juga
meminta kerajaan memberi pelepasan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) kepada
memandu teksi memandangkan mereka tidak boleh mengenakan CBP kepada
penumpang.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY