PORT DICKSON, 4 Dis – MUSUH…. Persaingan perniagaan arak dan makanan, dipercayai menjadi punca seorang peniaga ditetak menggunakan parang oleh dua lelaki berhampiran sebuah stesen jana kuasa elektrik di Bukit Pelanduk, semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Zainudin Ahmad, berkata mangsa berusia 32 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala dan pergelangan tangan dalam kejadian jam 6.05 petang itu.

“Polis mendapat maklumat segera ke lokasi kejadian sebelum mengejar dan menahan kereta dinaiki suspek berhampiran Plaza Tol Port Dickson Utara, Lebuh Raya Seremban-Port Dickson di Seremban. Tiga lelaki berusia 34 hingga 43 tahun di dalam kereta itu ditahan.

“Siasatan mendapati, mereka menyerang mangsa selepas diupah RM1,000 oleh seorang lelaki lain yang tidak berpuas hati kerana mangsa menjual arak dan minuman keras berhampiran warungnya, menyebabkan perniagaannya merosot,” katanya hari ini.

Beliau berkata, susulan itu, peniaga berusia 49 tahun turut ditahan di sebuah kedai tidak jauh dari tempat kejadian pada jam 10.15 malam tadi.

Katanya, siasatan lanjut mendapati peniaga, penjenayah dikehendaki polis bagi satu kes culik beberapa tahun lalu, selain mempunyai pelbagai rekod lampau termasuk ugutan jenayah, curi dan memiliki dadah. – WD MY