KUALA LUMPUR, 25 JUN – AMBIL…..  Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) mengambilalih sementara tugas selaku badan induk sukan permotoran empat roda negara daripada Persatuan Automobil Malaysia (AAM).

Ia selepas Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam satu kenyataan bersetuju untuk menyerahkan tugas dari AAM ke MAM seperti termaktub dalam Artikel 5.2 Statut FIA 16.3.

“Sebarang perkembangan baharu mengenai subjek ini akan dibentangkan kepada ahli Majlis Sukan Permotoran Dunia dalam satu pertemuan Oktober ini,” kata Setiausaha Agung FIA untuk Sukan Permotoran, Peter Bayer.

Dalam pada itu, Bayer turut mengharapkan MAM akan ‘mengambil semua langkah diperlukan bagi membolehkan aktiviti sukan menggalakkan’ dapat dijalankan di Malaysia.

Status AAM dilucutkan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada November tahun lalu selepas didakwa gagal mematuhi pelbagai peraturan pengurusan.

Sementara itu, Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir mengalu-alukan pengiktirafan daripada FIA dengan berkata: “Keutamaan kami adalah memastikan sukan permotoran di Malaysia dapat diteruskan tanpa halangan di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa.

“Adalah penting untuk sukan permotoran di Malaysia mempunyai badan bagi menjalankan aktiviti dan juga menyokong pembangunan – termasuk meluluskan sebarang acara yang berkaitan sukan permotoran.

“Kami akan melakukan yang terbaik bagi memastikan sukan permotoran Malaysia akan menerima manfaat daripada kami.” – WD MY