KUCHING, 9 Feb – TANGKIS… Persatuan media Sarawak hari ini menangkis kritikan pihak tertentu yang mendakwa media tidak membuat liputan secukupnya tentang keadaan banjir di negeri ini dan menasihati wartawan tempatan supaya bertenang dan terus membuat liputan, walaupun menghadapi kesukaran untuk sampai ke tempat yang dinaiki air.

Persatuan Wartawan Komanwel (CJA) Sarawak, Persekutuan Wartawan Sarawak (FSJA) , Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Persatuan Jurufoto Akhbar Sarawak (SPPA) dalam kenyataan bersama berkata dakwaan bahawa media gagal membuat liputan di kawasan dilanda banjir di Sarawak adalah tidak benar sama sekali.

“Kami bukan hendak berlumba dengan warga internet dan laskar papan kekunci. Etika kami adalah memastikan maklumat yang diberi adalah tepat dan ini mengambil masa untuk didapati,” kata empat organisasi media itu berhubung kritikan yang dilemparkan kepada stesen televisyen dan akhbar kerana kononnya tidak menyiarkan sebarang berita tentang kegiatan bantuan oleh pihak kerajaan semasa berlaku bencana.

Kenyataan itu juga menasihati wartawan tempatan supaya mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak berkuasa berkenaan dan daripada sumber yang boleh dipercayai, walaupun menghadapi kesukaran untuk sampai ke tempat dilanda banjir.

“Kami menyiarkan berita berkaitan banjir sejak hari pertama lagi.

“Hasil kerjasama rapat daripada pelbagai agensi dan pihak berkuasa dalam jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan maklumat yang boleh dipercayai daripada orang aramai, khususnya mangsa banjir sendiri, kami akan terus menjalankan tugas kami secara profesional,”. – WD MY