PUTRAJAYA, 18 Nov – Terima Kunjungan…….Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri hari ini menerima kunjungan hormat
delegasi Persatuan Persahabatan Ahli Parlimen Jepun-Malaysia (JMPFA).
Pelbagai kerjasama dua hala dibincangkan dalam pertemuan dengan delegasi
JMPFA diketuai pengerusinya Keiji Furuya yang kini berada di Malaysia bersempena
Festival Jepun, di pejabatnya di Kementerian Dalam Negeri di sini.
Dalam kenyataan, Ahmad Zahid berkata Malaysia dan Jepun akan mengeratkan
lagi hubungan dua hala yang sedia terjalin daripada perkongsian dipertingkatkan
kepada perkongsian strategik.
Timbalan Perdana Menteri berkata pertukaran lawatan di pelbagai peringkat di antara Malaysia dan Jepun akan meneruskan momentum perbincangan peringkat tertinggi kedua-dua negara untuk kebaikan rakyat masing-masing.
“Malaysia dan Jepun merancang untuk melaksanakan pelbagai program bagi
menyambut ulang tahun hubungan diplomatik yang ke-60 pada tahun depan,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata kerajaan Malaysia berharap firma-firma Jepun
akan menyertai tender yang akan dibuka untuk projek kereta api berkelajuan
tinggi menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.
“Kerajaan Jepun telah menawarkan pakej bantuan kewangan untuk projek kereta
api berkelajuan tinggi. Malaysia maklum akan track record Jepun yang baik dalam
projek seumpama ini dan berharap firma-firma Jepun akan menyertai tender yang
dibuka kelak,” katanya.
Mengenai industri halal, Ahmad Zahid berkata Malaysia bersedia untuk
berkongsi kepakaran, pengetahuan dan pengalaman berkaitan dengan industri
halal dan juga pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan Jepun.
“Keperluan ke atas produk-produk halal akan semakin meningkat di Jepun pada
Sukan Olimpik 2020. Jepun menyasarkan peningkatan kunjungan pelancong dan
berminat untuk membangun dan meningkatkan industri halal mereka,” katanya.
Mengenai gelombang kedua Dasar Pandang Ke Timur, Ahmad Zahid berkata
Malaysia mendapat pulangan yang bermanfaat hasil daripada fasa pertama dasar itu terutamanya melalui program-program latihan dan pendidikan dalam bidang sains dan teknologi.
“Gelombang Kedua Dasar Pandang ke Timur akan meneruskan usaha-usaha
memperkasakan kerjasama di antara dua negara, dengan ekonomi sebagai fokus
utama, untuk meningkatkan peluang-peluang perdagangan dan pelaburan dalam
bidang-bidang yang menjadi keutamaan kedua-dua negara,” katanya.
Malaysia dan Jepun mencatatkan jumlah dagangan dua hala sebanyak RM127.4
bilion (USD32.77 bilion), keempat terbesar di peringkat global. Januari
hingga Ogos tahun ini, jumlah dagangan bernilai RM77.92 bilion (USD19.07
bilion).
Jepun kekal sebagai pelabur asing terbesar dalam sektor pembuatan dengan
lebih 1,400 syarikat Jepun beroperasi di Malaysia. Jumlah pelaburan pada tahun
lepas adalah sebanyak RM4 bilion (USD 0.93 bilion) dengan 60 projek dan menghasilkan 5,201 peluang pekerjaan. -WD MY