PERSEMPADANAN LULUS

PERSEMPADANAN LULUS

496
0

KUALA LUMPUR, MAC 29:PERSEMPADANAN….Selepas dibahaskan hampir lima jam, sidang Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya setelah mela­kukan undi belah bahagian.

Sebanyak 129 ahli Parlimen bersetuju manakala 80 lagi tidak bersetuju ketika pengundian dijalankan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Rang undang-undang tersebut diluluskan selepas dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dibahaskan oleh 14 Ahli Parlimen terdiri daripada tujuh wakil pembangkang serta tujuh penyokong kerajaan.

Sesi perbahasan juga sering diganggu dengan kekecohan yang ditimbulkan wakil-wakil pembangkang yang bangkit mencelah untuk menimbulkan isu-isu yang tidak relevan dengan usul ber­kenaan.

Najib dalam ucapan usulnya berharap syor-syor yang terkandung dalam laporan kajian tersebut dapat membantu wa­kil-wakil rakyat menyampaikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, langkah tersebut memberi kelebihan kepada semua wakil rakyat untuk me­ningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar serta tidak ber­asas bahawa syor-syor berkenaan hanya menguntungkan sesete­ngah pihak sahaja.

“Berhubung ini juga, sebagai pemberitahuan ahli-ahli Yang Ber­hormat sekalian, saya dimaklumkan bahawa terdapat syor-syor yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak dipersetujui oleh beberapa pihak termasuk pihak kerajaan sendiri.

“Sungguhpun begitu, keraja­an tidak mengganggu mahupun mempengaruhi SPR dalam me­laksanakan tugas-tugas mereka, malah kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang telah dibuat oleh SPR untuk kebaikan semua, demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Laporan yang disediakan oleh SPR itu merangkumi Semenanjung Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, La­buan dan Putrajaya dengan melibatkan keluasan kira-kira 132,000 kilometer persegi.

Najib menambah, urusan kajian semula persempadanan kali ini yang dimulakan pada 15 September 2016 telah melalui proses notis persempadanan, pameran syor, representasi bantahan dan siasatan tempatan bagi kali pertama serta kali kedua.

“Keseluruhannya, bagi kedua-dua pameran yang diadakan, SPR telah menerima sebanyak 1,685 representasi dan 600 daripada­nya telah diadakan siasatan tempatan,” jelasnya.-MY WD