PUTRAJAYA, 9 Nov – Berkuatkuasa hari ini, tugas pengurusan bencana bagi Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – akan dikendalikan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan, berkata tugas sekretariat Pengurusan Bencana bagi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebelum ini adalah di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) WPKL.

“Kita harap penyerahan tugas ini akan memudahkan perancangan menghadapi bencana alam khususnya banjir atau banjir kilat di Wilayah Persekutuan pada musim monsun akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis serah tugas itu di pejabatnya hari ini.

Pada majlis itu, MKN WPKL diwakili Setiausaha Keselamatan Negeri, Mohd Anuar Ismail manakala JPAM WPKL diwakili Timbalan Pengarahnya, Mejar Mohd Rosman Abdullah.

Sementara itu, Mohd Rosman berkata selaku urusetia, JPAM WPKL akan terbabit dalam merancang, menyelaras serta mengawasi pelaksanaan operasi semasa bencana selain mengadakan latihan serta kesedaran kepada komuniti dalam menghadapi dan mengurangkan risiko semasa bencana.

Beliau berkata, jabatan itu juga bertanggungjawab memberi nasihat dan pandangan kepada Ketua Setiausa Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung tindakan yang boleh dan perlu diambil semasa sesuatu bencana berlaku.

Mohd Rosman berkata, JPAM WPKL kini memiliki kekuatan kira-kira 30,000 sukarelawan yang sedia digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya, pejabat JPAM di lima daerah iaitu Putrajaya, Sentul, Cheras, Dang Wangi serta Labuan berupaya mengerah sehingga 1,000 anggota dalam tempoh dua jam ke lokasi sekiranya berlaku bencana. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY