KUALA LUMPUR, 5 Okt – Daulatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan….. Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, mahu penggubalan dasar pengajaran bahasa Inggeris melahirkan generasi menguasai dwibahasa dan bersifat global, namun turut menjamin kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti peruntukan Perlembagaan.

Baginda bertitah, negara dan bangsa ketika ini menghadapi cabaran mengolah formula yang dapat mengimbangi hasrat mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan dengan keperluan melahirkan masyarakat dwibahasa.

Titah Sultan Perak itu lagi, generasi dewasa perlu mengolah dasar dan menyediakan program yang dapat memenuhi harapan generasi muda menguasai dan mengendalikan urusan di peringkat antarabangsa.

“Perselisihan yang berlaku adalah dari segi kaedah dan pendekatan. Bahasa kebangsaan tidak harus dijadikan mangsa untuk dipinggirkan kerana kaedah pengajaran bahasa Inggeris di sekolah yang kurang efektif.

“Anak Melayu bukannya tikus belanda untuk dijadikan bahan eksperimen sepanjang masa. Kaedah yang membolehkan bangsa menguasai bahasa Inggeris hendaklah dirangka secara betul.

“Dasar mudah digubal tetapi sebelum sesuatu idea dijadikan dasar, wajiblah diteliti secara terperinci mekanisme pelaksanaannya. Selami sesuatu masalah secara mendalam, agar bertemu dengan mutiara penyelesaian yang lebih berkesan,” titah baginda pada Majlis Titah Diraja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, negara harus bijaksana melakukan pertimbangan demi memastikan warisan pusaka bangsa tidak tergadai dalam hasrat mahu membangunkan sumber manusia bersifat global.

Titah baginda, negara perlu berhati-hati dengan kaedah yang dipilih dalam usaha memastikan orang Melayu dapat menguasai bahasa sejagat supaya bangsa diperkayakan dengan ilmu dan kemahiran.

Hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur; Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Alias Ahmad; Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas; dan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar. – WD MY

LEAVE A REPLY