MEXICO CITY, 8 Jan – MAUT…… 11 orang disahkan maut dalam satu pertempuran bersenjata membabitkan penduduk tempatan dan pasukan polis setempat di pinggir Acapulco, Ahad.

Pertempuran berkenaan berlaku di sebuah kawasan ladang dikenali sebagai La Conception, di selatan Acapulco selepas seorang pemuda ditahan pasukan polis berkenaan kerana didakwa melakukan kesalahan.

Dalam insiden berbalas tembakan itu, lapan penduduk terbunuh manakala tiga anggota kumpulan polis terbabit maut ditembak pihak berkuasa, selepas enggan menyerah diri.

Pegawai dari Jabatan Keselamatan Negeri, Roberto Alvarez berkata, pasukan polis setempat itu diberi kuasa oleh kerajaan negeri untuk beroperasi di bandar kecil bagi menjaga keamanan setempat.

“Pasukan keselamatan terdiri daripada tentera dan pasukan polis persekutuan menahan 30 anggota pasukan polis setempat, manakala tiga lagi ditembak mati kerana enggan menghentikan pertempuran itu,” katanya.

Acapulco ialah bandar terbesar di Guerero, iaitu satu negeri yang memiliki penguatkuasaan undang-undang paling lemah Mexico, dan pusat pengeluaran candu utama negara berkenaan.

Keganasan sering meletus di Guerero, khususnya dalam kalangan kumpulan yang terbabit dalam pengedaran dadah seperti kokain. – WD MY