BANGI, 23 Sept – Ambil Tindakan….. Pihak Kementerian Pendidikan sedia mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang membuat rakaman video pasangan bercumbu, bertujuan memfitnah guru serta mengaibkan institusi pendidikan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya masih menunggu laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis berhubung kes itu.

“Kita serahkan kepada SKMM dan polis untuk mengesan pihak terbabit, sebelum mengambil langkah seterusnya termasuk tindakan undang-undang,” katanya.

Beliau merasmikan penutupan Kem Nobelist Mindset 2016 di Pusat PERMATA Pintar Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Mahdzir diminta mengulas siasatan berhubung klip video pasangan bercumbu didakwa guru dan guru besar yang tersebar luas di laman sosial, baru-baru ini.

Siasatan mendapati ia tidak membabitkan institusi Kementerian Pendidikan dan menerusi entri akaun Facebook rasminya semalam, Mahdzir berkata, rakaman itu dipercayai dibuat lapan tahun lalu di pejabat sebuah ladang di Segamat, Johor.

Mengulas aspek keselamatan pelajar di sekolah, beliau berkata, Jabatan Pendidikan negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) diarah melihat semula penguatkuasaan jawatan kuasa keselamatan di sekolah masing-masing.

“Ini termasuk keselamatan pelajar datang dan balik sekolah yang mungkin terdedah kemalangan atau dikaitkan kes penculikan,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY