PETALING JAYA, 3 Dis – SAKSAMA…. Pertubuhan wanita perlu bersama Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga (KPWKM) dalam usaha mencapai kesaksamaan gender yang menjadi agenda penting negara.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata perspektif wanita perlu diintegrasikan dalam arus perdana pembangunan negara bagi memperkukuhkan institusi keluarga dan meningkatkan kesejahteraan sosial.

“Kita memuji usaha Pertubuhan Wanita Elit (PWE) ini yang ditubuhkan setahun lalu yang menjadi platform kepada wanita untuk lebih berdaya saing, berilmu dan berterampilan berbekalkan prinsip jaringan tanpa sempadan.

“Mereka ini bukan saja membuktikan kemampuan diri dari segi kerjaya dan keusahawanan, tetapi wanita ini menjalinkan ukhuwah dalam mencari rezeki halal serta menyumbang kepada pembangunan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Makan Malam Amal dan penyampaian sumbangan PWE yang meraikan ulang tahun penubuhan yang pertama di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PWE, Datin Seri Nurzarina Sepran dan Penasihat PWE, Datin Nornie Hassan.

Rohani berkata, agenda pemerkasaan dan pengupayaan wanita bagi mencapai kesaksamaan gender sentiasa menjadi keutamaan kementerian.

Katanya, agenda pemerkasaan wanita diperjuangkan sejak Rancangan Malaysia Keempat lagi dan kerajaan secara khusus sudah mengumumkan sasaran untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 55 peratus pada 2015.

“Objektif meningkatkan kadar penyertaan tenaga kerja wanita diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) dengan sasaran baharu adalah meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita sebanyak 59 peratus pada 2020,” katanya. – WD MY