KUALA LUMPUR, 20 Julai – Sasarkan…. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebanyak 500,000 unit perumahan awam akan dibina di tapak kumbahan menggunakan teknologi moden dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Ahmad Zahid berkata, kediaman berkenaan dibina menerusi kerjasama pintar kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan sebuah syarikat swasta.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Perumahan tidak mengumumkan syarikat berkenaan.

Kerjasama pintar itu sudah mendapat kelulusan dasar pada peringkat Kabinet dan kini pada peringkat untuk perincian, sebelum dimuktamadkan.

Beliau berkata, ia adalah idea kreatif mengurangkan kawasan kumbahan yang menggunakan kawasan besar dengan mengaplikasikan teknologi baharu.

“Teknologi baharu ini memperkecilkan kawasan kumbahan antara lima hingga 10 peratus dari kawasan asal, maka selebihnya 90 hingga 95 peratus digunakan untuk kawasan perumahan awam tanpa berkompromi dengan isu berkaitan kesan kumbahan kepada penduduk.

“Teknologi baharu digunakan juga adalah moden tanpa mengabaikan kualiti persekitaran di mana keselesaan pembeli diutamakan,” katanya berucap pada majlis ulang tahun Ke-20 dan sambutan Aidilfitri Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Menara FELDA di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SPNB, Datuk Dr Abdul Latif Ahmad; Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad; dan Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Pada majlis itu, 37 kakitangan SPNB yang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 turut diraikan. – WD MY