KUALA LUMPUR, 23 Feb – Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata peruntukan sehingga RM10,000
akan diberi kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu kerajaan mendidik rakyat mengenai Cukai Barang Dan Perkhidmatan (CBP).
Dana itu akan disalurkan menerusi Kementerian Kewangan dan NGO berkenaan perlu membuat permohonan sebelum 1 April ini.
“NGO itu perlulah memohon terlebih dahulu kepada kementerian untuk mengadakan sesi-sesi ini dan jika perlu, saya sendiri akan turun padang,” katanya selepas
taklimat CBP kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI), di sini.
Ahmad berkata dana itu adalah lebihan daripada peruntukan yang diberi kerajaan. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah tersebut.
Selain itu, mengulas senarai ubat-ubatan yang dikenakan CBP, beliau berkata kerajaan masih lagi meneliti jenis ubat yang tertakluk kepada cukai tersebut.
Sehingga kini, katanya, sebanyak 2,900 ubat-ubatan yang wajib ada di hospital kerajaan dan swasta, telah dikecualikan CBP.
“Kerajaan masih belum memuktamadkan senarai ubat-ubatan ini dan akan mengkaji senarai tersebut daripada semasa ke semasa,” katanya.-Sofea Nawar – (WD MY)