HUTAN MELINTANG, 12 Mac — UMUM….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan peruntukan RM2.75 juta bagi menaik taraf infrastruktur Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI) di sini.

Ahmad Zahid berkata peruntukan itu untuk melengkapkan perpustakaan digital dengan 40 komputer riba, menaik taraf bilik darjah kepada abad 21, menaik taraf gimnasium kepada mini auditorium dan mengecat 10 blok bangunan sekolah serta menyediakan kemudahan televisyen LCD untuk kemudahan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Saya turut meluluskan RM350,000 untuk pendingin hawa di surau dan dewan makan serta RM50,000 untuk sistem pembesar suara,” katanya ketika berucap pada majlis Tautan Kasih Selautan Harapan di SEMESTI SEMALAM.

Ahmad Zahid berkata peruntukan itu sejajar dengan dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai sistem pendidikan terbaik.

“Kita mengetahui bahawa sistem yang terbaik adalah sistem pendidikan kerana sistem pendidikan yang baik adalah ibu kepada segala sistem,” katanya.

 

Menurut Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk, kewujudan sekolah berasrama penuh adalah untuk kemajuan negara dengan mengenepikan segala perbezaan.

“Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak mewujudkan sekolah berasrama penuh, beliau melihat potensi di kalangan ibu bapa yang miskin, pelajar di luar bandar, pelajar Orang Asli, pelajar pedalaman di Sabah dan Sarawak, pelajar Cina dan India.

“Ini semua diterangkumkan dalam suatu sistem pendidikan kerana di dalam pendidikan, kita mengenepikan perbezaan bangsa dan latar belakang kerana kita mengutamakan kemajuan negara keseluruhannya,” katanya. – WD MY