TAMPIN, 27 Mac – LULUS….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata peruntukan yang diluluskan kerajaan bagi projek pembangunan kemudahan rakyat bukan dedak atau gula-gula untuk menghadapi pilihan raya, sebaliknya bukti kerajaan tidak bankrap seperti yang sering didakwa oleh pembangkang.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan prihatin dan sentiasa berusaha menyediakan segala keperluan demi mensejahterakan kehidupan rakyat, justeru tidak timbul isu mahu mengambil hati.

“Bila kita umum peruntukan, bukan kita hendak riak atau takbur, …tapi ini adalah terjemahan kepada keprihatinan kerajaan yang dipilih dan diberi mandat oleh rakyat.

“Peruntukan ini bukan dedak atau gula-gula, tapi untuk menjawab dakwaan (bahawa) kerajaan bankrap, kadar hutang tinggi, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) nak bayar hutang 1MDB (1Malaysia Development Bhd) dan banyak lagi tuduhan (pembangkang).

“Kalau benar kerajaan bankrap, macam mana kita nak luluskan peruntukan untuk kemudahan rakyat,” katanya berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Tampin di Kampung Tengah, Gemencheh, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid meluluskan peruntukan pembinaan Kompleks Sukan Gemencheh dan jambatan gantung di Kampung Pasir Besar, Gemas di sini, yang masing-masing bernilai RM5 juta dan RM3.5 juta.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, kerajaan berjaya menangani faktor ketakutan (fear factor) dalam negara iaitu kos sara hidup, pendidikan, kesihatan dan keselamatan dengan baik, seterusnya mewujudkan faktor ‘feel good’ dalam kalangan rakyat.

Katanya, isu peningkatan kos sara hidup berlaku di seluruh dunia disebabkan kenaikan kos pengeluaran dan pengangkutan, namun kerajaan tetap memberi perhatian dengan mewujudkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara yang merangka pelbagai usaha dan strategi untuk mengurangkan kesannya terhadap rakyat.

“Antara program terbaharu adalah Jualan Sentuhan Rakyat yang membolehkan masyarakat membeli pelbagai keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran. Kita berusaha untuk menghapuskan orang tengah yang mengambil keuntungan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, aspek pendidikan dan kesihatan juga diberi tumpuan oleh kerajaan kerana menyedari kedua-duanya adalah hak setiap rakyat, sehingga mendapat pujian di peringkat antarabangsa.

“Kajian oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa mendapati, Malaysia adalah antara negara yang memberi perhatian tinggi terhadap pendidikan. Malah, secara purata, setiap ibu bapa mendapat bantuan kerajaan sekurang-kurangnya (bernilai) RM300 bagi setiap anak yang bersekolah melalui ketiadaan yuran persekolahan, yuran peperiksaan dan bantuan buku teks.

“Dalam aspek kesihatan, kita terbukti memberi perhatian khusus kerana dengan bayaran RM1 sahaja, sudah boleh mendapat perkhidmatan di klinik dan hospital kerajaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, indeks jenayah terutama kategori jalanan termasuk ragut juga menurun ketara hasil pelbagai usaha dilakukan kerajaan, seterusnya mewujudkan suasana lebih selamat di negara ini.

Dalam ucapannya, Zahid turut melahirkan keyakinan BN mampu mempertahankan Parlimen Tampin serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas serta Tampin, selain merampas DUN Repah daripada pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). – WD MY