KUALA LUMPUR, 8 Dis – SEBULAT SUARA…. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap  kepercayaan sebulat suara oleh perwakilan kepada pemimpin tertinggi untuk terus menyandang jawatan dalam parti akan menjalankan tugas seperti yang telah dieprtanggungjawabkan.

Ahmad Zahid yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata pihaknya turut mengambil ketetapan bahawa jawatan Naib Presiden yang disandang oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien akan dikekalkan.

“Usul ucapan dasar Presiden telah diterima sebulat suara dengan pindaan di mana jawatan Presiden yang disandang oleh Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan dipertandingkan. Begitu juga jawatan Timbalan Presiden yang dicadangkan.

“Semalam kami juga mengambil ketetapan bahawa jawatan Naib Presiden biarpun disandang oleh tiga org tetapi oleh kerana seorang sahaja penyandang tunggal, maka kami terima bahawa jawatan seolah-olah diberi kepada Hishammmuddin,” kata beliau.

Ahmad Zahid ditemui pada sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) sebulat suara meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

Tambah Ahmad Zahid, keputusan itu dibuat sebagai kaedah untuk lebih memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan tiada gerak kerja dalam parti bagi menghadapi pemilihan tahun hadapan.

Pada hari ketiga PAU 2017, UMNO melakar sejarah baharu dekad ini apabila sebulat suara oleh perwakilan untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin, selepas usul dicadangkan oleh wakil Pemuda dan disokong wakil Perak sebelum dibahaskan wakil negeri serta jurucakap Wanita dan Puteri. – WD MY