MUADZAM SHAH, 28 April – Pesawat C130 Hercules Angkatan Tentera
Malaysia (ATM) yang membawa 64 penyelamat dan pasukan perubatan selamat
tiba di Pangkalan Operasi Hadapan, Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan,
Kathmandu di Nepal, pagi tadi.

Menurut Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, pesawat itu
berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor pada pukul 6 pagi semalam dan
tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Netaji Subbhas Chandrabose, India pada
12.15 tengah hari Isnin, sebelum meneruskan perjalanan ke Kathmandu.

“Pesawat ini membawa Pasukan Perubatan ATM seramai enam orang, pegawai
Majlis Keselamatan Negara (dua orang), Pasukan Special Malaysia Disaster and
Rescue Team (26 orang) dan pasukan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
(PBSM) (tujuh orang).

“Turut sama ialah Pasukan Malaysia Medical Relief Society (MERCY) (tujuh
orang), seorang pegawai Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (WFP)
dan 15 kru.”

Hishammuddin berkata sebanyak 30 rakyat Malaysia yang menetap di
Kathmandu dilaporkan selamat, namun mereka memerlukan bantuan.

“Saya sedang menunggu laporan dalam usaha membawa mereka pulang kerana ia
perlu diselaraskan dengan pasukan lain di peringkat antarabangsa. (Malaysia)
Selaku pengerusi ASEAN, bukan hanya rakyat kita, tapi keutamaan (untuk membawa
pulang) juga diberi kepada rakyat dari negara ASEAN,” katanya.

Hishammuddin berkata kementerian juga akan membantu dari segi logistik
untuk memastikan bantuan yang disalurkan rakyat Malaysia sampai kepada mereka
yang memerlukan di Nepal.

Ditanya sama ada ATM akan menghantar bantuan tambahan, beliau berkata
ia akan diselaraskan selepas tinjauan pasukan di sana bagi mengelakkan
pertindihan bantuan kerana bencana itu mendapat perhatian dunia dan banyak
negara telah menghantar bantuan mereka.

“Bagaimanapun kita tidak pernah menolak apa jua bentuk bantuan yang
diperlukan kerana kita kena sedar dan insaf bahawa apabila kita berdepan dengan
kejadian seperti dua tragedi Malaysia Airlines (MH17 dan MH370) dan banjir besar
pada tahun lalu, banyak pihak yang telah tampil untuk membantu,” katanya.
-Rizalman Has (WD MY)

LEAVE A REPLY