CHUKAI, 16 Jun – Temui…… Satu lokasi kira-kira dua kilometer (km) dari tempat mayat dua juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ditemui semalam, dipercayai menjadi tempat pesawat Hawk 108 yang dikendalikan terhempas.

Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu mengorbankan nyawa Mejar Mohd Hasri Zahari, 31, dan Mejar Yazmi Mohamed Yusof, 39.

Pegawai TUDM turut berada di lokasi dan memasang pita kuning sepanjang kira-kira 200 meter di kawasan terbabit bagi menghalang orang ramai memasuki lokasi kejadian.

Dua kenderaan pacuan empat roda (4WD) dipercayai milik TUDM turut berada bersama kira-kira 10 petugas di lokasi.

Tinjauan turut mengesan helikopter TUDM berlegar-legar di kawasan berkenaan sejak jam 10 pagi.

Kumpulan media yang berada berhampiran lokasi berkenaan dilarang memasuki kawasan hutan paya bakau berkenaan atas faktor keselamatan.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, belum ada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa dan TUDM berhubung status usaha mengesan bangkai pesawat Hawk 108 terbabit. – WD MY