MONTMELO, Sepanyol, 12 MEI – DAHULUI…. Pendahulu keseluruhan, Valtteri Bottas meraih petak pendahulu saingan Grand Prix Sepanyol esok apabila dia mengatasi kepantasan rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton dalam sesi kelayakan sengit sebentar tadi.

Pemandu Finland itu mendahului penyandang juara lima kali, Hamilton dengan satu mata dalam pemburuan gelaran tahun ini, melengkapkan hatrik petak pendahulu berturut-turut musim ini selepas kejayaan di China serta Azerbaijan.

Bottas mencatat rekod sepusingan terpantas 1 minit 15.406 saat di depan rakan sepasukan dari Britain itu.

Dengan Hamilton berkedudukan kedua, ia memberikan satu lagi kedudukan barisan depan buat Mercedes yang menggambarkan pemburuan gelaran akan berlaku antara dua pemandu Silver Arrows itu.

Juara empat kali Sebastian Vettel dari Ferrari ketiga, di depan Max Verstappen dari Red Bull, Charles Leclerc bersama jentera kedua Ferrari dan Pierre Gasly dari Red Bull.

Romain Grosjean ketujuh di depan rakan sepasukan Haas, Kevin Magnussen, pemandu Russia, Daniil Kvyat dari Toro Rosso dan Daniel Ricciardo dari Renault.

“Saya gembira melaluinya,” kata Bottas. “Keseronokan daripada pusingan itu amat hebat jadi saya amat gembira.” – WD MY