KUALA LUMPUR, 9 Mei – Teruskan Perkongsian……PETRONAS dan Vietnam Oil and Gas Group (PETROVIETNAM) melanjutkan Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) dengan empat rakan kongsi bagi PM3 Kawasan Aturan Komersial (CAA) hingga 2027.

Rakan kongsi itu ialah Talisman Malaysia Ltd, Talisman Malaysia (PM3) Ltd (Talisman), Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan PetroVietnam Exploration Production Corporation Ltd (PVEP), menurut kenyataan bersama syarikat minyak nasional berkenaan dan PetroVietnam di sini, hari ini.

Mengikut terma PSC, yang ditandatangani pada 6 April 2016, Talisman akan terus mengendalikan Blok PM3 CAA dengan kepentingan ekuiti 35 peratus manakala PVEP akan memiliki 30 peratus, dengan baki 35 peratus dipegang oleh PCSB.

Lanjutan kontrak 10 tahun itu akan mengekalkan pengeluaran dari lima medan pengeluaran iaitu medan Bunga Orkid, Bunga Kekwa, Bunga Raya, Bunga Tulip dan Bunga Saroja.

Aktiviti lain termasuk pembangunan lanjut medan yang diterokai dalam lingkungan CAA luar pesisir Malaysia-Vietnam.

Rakan-rakan kongsi itu komited untuk melaksanakan penerokaan medan berhampiran, pembangunan awal dan kajian mengenai pemulihan minyak dipertingkat (EOR) bernilai US$500 juta daripada komitmen kerja minimum tambahan.

Projek PM3 CAA melibatkan medan luar pesisir yang terletak di seluruh kawasan 2,008 kilometer persegi dalam zon bertindih antara Malaysia dan Vietnam. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY