KUALA LUMPUR, 17 Ogos – Lancar….. Syarikat petroluem negara, Petronas melancarkan pameran khas dan filem web bersempena kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi merayakan kemajuan negara sejak mencapai  kemerdekaan.

Kempen itu termasuk pertunjukan khas berjudul ‘Julang’ yang mempamerkan pembangunan Petronas  serta memperkenalkan sebuah filem web berjudul ‘Piala Taman Thomas’.

Pengerusi Petronas Tan Sri Sidek Hassan dalam ucapan perasmian berkata pameran  ‘Julang’ adalah sebahagian daripada inisiatif  ‘Negaraku’ seluruh negara.

“Sebagai pemelihara sumber hidrokarbon negara, terjemahan visi ini merupakan pencapaian dari segala yang telah kita lakukan dalam tempoh 43 tahun lepas, dengan hasil cukup gemilang,” kata beliau.

‘Julang’, yang dibuka untuk tontonan umum dari 15 Ogos hingga 17 Sept di  Galeri Petronas Suria KLCC, di sini dijangka menerima kira-kira 40,000 pengunjung, sementara filem web ditayang di  www.petronasofficial.com sehingga 17 Sept.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Zahariah Abdul Rahman  berkata filem web empat minit itu mengenai legenda badminton Rashid Sidek dan Foo Kok Keong, memupuk intisari dan nilai kerja berpasukan serta kecekalan untuk Malaysia yang lebih cemerlang.

Bekas juara Piala Thomas 1992, Rashid pula berharap karya itu dapat menyuntik semangat rakyat Malaysia khususnya generasi muda supaya tidak mudah berputus asa untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang yang diceburi. – WD MY