KUALA LUMPUR, 25 Jan – Terapkan Semangat…… Semangat bekerjasama dan keazaman tinggi yang ditonjolkan lima sahabat menjadi ciri utama iklan Tahun Baharu Cina yang diterbitkan PETRONAS tahun ini.

Iklan bertajuk ‘It Came From A Tin Mine’, arahan Ismail Kamarul itu mula ditayangkan hari ini sehingga 5 Februari depan.

Pengurus Besar Kanan Kumpulan Komunikasi Strategiknya, Zahariah Abdul Rahman, berkata iklan berkenaan mampu menarik rakyat negara ini untuk lebih mengutamakan nilai kerjasama dan keazaman dalam diri masing-masing.

“Ia sekali gus dapat memberi inspirasi kepada masyarakat supaya tidak mudah putus asa dalam kehidupan mereka untuk mengerjakan sesuatu perkara.

“Malah, dengan menonton iklan ini juga, ia dapat membawa kita menyelami nilai untuk saling menghormati, membuat kebaikan serta nilai persahabatan antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran iklan Tahun Baharu Cina di sini, hari ini.

Zahariah berkata, iklan itu berdurasi empat minit di laman web PETRONAS (www.petronasofficial.com) dan satu minit ditayangkan di televisyen.

Beliau berharap mesej nilai perpaduan yang disampaikan pihaknya dapat diterima masyarakat supaya mereka lebih bersatu padu dalam membangunkan negara. – WD MY