KUALA LUMPUR, 11 Nov – Keuntungan bersih PETRONAS jatuh 57 peratus kepada RM23.8 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2015 berbanding RM54.9 bilion pada tempoh sama tahun lalu.

Pendapatannya merosot 25 peratus kepada RM187.6 bilion berbanding RM249.8 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata keputusan kewangan itu dicatatkan susulan kelemahan berterusan harga minyak mentah, dengan purata harga Brent sekitar AS$50 setong pada suku ketiga 2015 berbanding AS$62 setong pada suku kedua.

Beliau berkata, meskipun berdepan persekitaran industri yang lemah, pengeluar minyak dan gas nasional itu masih terus mencatatkan kemajuan dari segi operasi dalam perniagaan huluan dan hiliran.

“Melangkah ke hadapan, dengan tinjauan sektor minyak dan gas masih tidak menentu, kami perlu menumpukan kepada pendekatan yang lebih berhemat kepada pengurusan tunai kami dan merealisasikan langkah keberkesanan dalaman,” katanya pada sidang media mengumumkan keputusan kewangan suku ketiga PETRONAS hari ini.

Wan Zulkiflee berkata, PETRONAS kekal komited kepada projek perbelanjaan modalnya termasuk RAPID, Projek Gas Cecair Asli (LNG) Pacific North West di Kanada, LNG Train 9 di Bintulu dan dua projek LNG terapung di Korea.

Beliau berkata, syarikat minyak dan gas nasional itu tidak akan memberhentikan kakitangan tetapnya dan berharap harga minyak yang rendah tidak akan berterusan.

Mengenai pemberian dividen kepada kerajaan tahun depan, PETRONAS bersetuju untuk membayar RM16 bilion tahun depan berbanding RM26 bilion tahun ini.-Faizal Dato Badarudin

LEAVE A REPLY