BUKIT TINGGI, 3 Feb – MAJLIS…… Merpati dua sejoli, Chryseis Tan, 29, dan SM Faliq Nasimuddin, 32  selaku pewaris legasi Kumpulan Berjaya dan Kumpulan Naza disatukan dalam majlis perkahwinan yang berlangsung berlatarbelakangkan istana dekat hotel terkemuka, The Chateau.

Kedua mereka yang mengikat tali pertunangan Jun tahun lalu memilih hotel lima bintang berteraskan ciri binaan zaman pertengahan kurun ke-12, ‘Haut Koenigsbourg’ itu sebagai lokasi menyulam janji sehidup semati.

Pesona lokasi perkahwinan turut dihias dengan jambangan bunga di deretan tangga menggunakan mawar merah jambu dan putih, selain lambakan orkid ‘phalaenopsis’ atau orkid kupu-kupu berwarna ungu, kuning serta putih.

Haruman bunga mawar segar seakan ‘menyapa’ tetamu jemputan merangkumi keluarga dan sahabat handai daripada kedua-dua mempelai.

Deretan kereta pelbagai jenama yang dipercayai dimiliki tetamu jemputan dilihat diletakkan di perkarangan hotel, menambah keanggunan majlis perkahwinan dihadiri golongan jutawan dan terkenal itu.

Mengenakan persalinan seakan jubah merah Maharaja China, LongPao, Faliq yang bersosok tinggi lampai kelihatan menanti di siar masuk hotel sambil ditemani pengapitnya kira-kira jam 2.30 petang.

Pengapit Faliq tampil memakai Sam Fu biru gelap dan seluar hitam. ‘Pelayaran’ mempelai lelaki menuju ke istana bagaimanapun tidak mudah seperti disangka apabila mereka disanggah pengapit Chryseis yang mengenakan persalinan cheongsam berwarna serba keemasan.

Pengapit lelaki dikehendaki menyempurnakan tugasan khas iaitu memakan cili mentah sebagai ‘tiket’ masuk ke lokasi perkahwinan.

 

Faliq adalah anak keempat dalam keluarga Naza, manakala Chryseis pula mempunyai 11 adik-beradik, masing-masing menyandang jawatan besar dalam empayar perniagaan keluarga.

Chryseis kini menjadi Pengarah Eksekutif Berjaya Assets Bhd dan pelabur dalam beberapa jenama termasuk Greyhound Cafe dan La Juiceria, manakala Faliq ialah Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Naza TTDI. – WD MY