MIRI, 12 APRIL – TAHAN…. Tongkang dipercayai menyimpan dan menjual minyak diesel tanpa permit sah sebanyak 80,000 liter dengan nilai RM1.033 juta dirampas Batalion 12 (BN12) Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kuala Baram di sini, kelmarin.

Pegawai Pemerintah BN12 PGA, Superintendan Tan Hiap Seng, berkata dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang disyaki pemilik tongkang terbabit turut ditahan.

“Hasil maklumat dan risikan, kira-kira jam 2.40 petang, 10 anggota risik BN12 PGA dan empat pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat serbuan terhadap sebuah tongkang disyaki menyimpan dan menjual minyak diesel tanpa permit sah.

“Pemeriksaan yang dijalankan menemui minyak diesel yang disimpan di dalam tangki tongkang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hiap Seng berkata, ketika pemeriksaan dijalankan, pemilik gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit berkaitan pemilikan minyak diesel terbabit.

“Rampasan dibuat diserahkan kepada pihak KPDNHEP Miri untuk tindakan lanjut.

“Kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Sementara itu, beliau memberi amaran kepada individu yang menjalankan aktiviti menyimpan dan menjual minyak diesel tanpa permit sah serta terbabit dalam penyeludupan diesel untuk berhenti melakukan kegiatan itu.

“PGA akan terus melakukan risikan, serbuan dan rampasan, manakala mereka yang terbabit akan didakwa,” katanya. – WD MY