KUALA SELANGOR, FEB 2: Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang lebih cerah untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, berbanding Barisan Nasional (BN).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Noh Omar, berkata walaupun BN menang pada PRK Parlimen Cameron Highlands, suasana serta pola pengundi di Semenyih sangat berbeza.

“BN perlu sedar bahawa keadaan di Pahang dengan Selangor, sedikit berbeza. Pahang adalah negeri di bawah BN, manakala di Selangor pula BN menjadi pembangkang sejak 2008.

“Namun, kita tidak boleh menolak peluang BN untuk melakukan kejutan dengan merampas kerusi DUN Semenyih. Dalam trend sekarang, tidak mustahil (untuk menang) dalam keadaan rakyat tengah marah janji tidak ditunaikan.

“Reaksi rakyat bawahan dan juga di Cameron Highlands itu akan sampai ke Semenyih. Bagi pengundi di Semenyih, inilah masa untuk menyedarkan kerajaan PH mengenai janji pilihan raya mereka,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, menyifatkan pertembungan antara UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) umpama pertembungan seorang bapa dengan anak derhaka.

“Dalam perpecahan Melayu, ia berpunca dari dua anak derhaka iaitu Parti Amanah Negara (AMANAH) yang lahir dari PAS dan BERSATU yang lahir dari UMNO.

“Sekarang, ‘bapa’ iaitu UMNO dan PAS sudah rujuk semula dan bekerjasama tetapi dua ‘anak’ (BERSATU dan AMANAH) ini derhaka. Jadi, rakyat kena tolak dua anak ini yang derhaka kerana tidak puas hati dengan ibu bapa mereka,” katanya.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 yang lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 Mac depan bagi tarikh mengundi PRK DUN Semenyih.-MY WD