SEREMBAN, OGOS 13:PENGORBANAN… Keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak membuat sebarang kenaikan gaji bagi penjawat awam pada penghujung tahun ini adalah sebahagian daripada pengorbanan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan baharu.

Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri juga akan mengambil langkah yang sama dengan Kerajaan Persekutuan sekiranya mereka berkehendakkan begitu.

Beliau berkata, jika arahan tersebut diberikan kepada seluruh kerajaan negeri PH, maka pihaknya akan akur dengan keputusan itu yang diyakini dapat membantu memulihkan ekonomi negara.

“Kita akan membincangkan perkara ini dengan Pegawai Kewangan, jika kerajaan pusat mahukan semua kerajaan negeri PH mengambil langkah yang sama, maka kita akan akur, tetapi setakat ini belum lagi.

“Saya berharap rakyat terutamanya penjawat awam dapat bersabar, kerana ini adalah sebahagian daripada pengorbanan rakyat terhadap pentadbiran kerajaan baru.

“Kita lakukan ini (tidak memberi kenaikan gaji) bukan sebab kita tidak prihatin dengan masalah yang ditanggung oleh rakyat, sebaliknya ia bersifat sementara untuk memulihkan kembali ekonomi negara agar lebih baik,” katanya.