KUALA LUMPUR, FEB 2: Ambiga Sreenevasan berkata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) perlu belajar daripada bekas perdana menteri Najib Razak dari segi turun padang.

Ambiga berkata demikian sebagai merujuk pendekatan Najib kebelakangan ini yang turun berjumpa pemimpin akar umbi, pemimpin masyarakat tempatan dan orang awam, terutamanya pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Ia satu kemahiran yang baik, pendekatan dia (Najib) … Dia tidak duduk diam… Dia tidak bersembunyi di satu sudut.

“Ini salah satu kerja yang anda perlu buat di peringkat akar umbi untuk bergerak ke hadapan sebagai sebuah gabungan. Mereka (PH) boleh belajar sesuatu dari perkara ini,” katanya seperti dilapor Malay Mail.

Pada PRK Cameron Highlands, Najib giat turun padang berkempen dan menjelajah beberapa kawasan termasuk kampung Orang Asli.

Selain pada kempen PRK itu, Najib dilihat mengadakan beberapa perjumpaan dengan orang ramai, termasuk baru-baru ini di Shah Alam, Selangor pada program yang digelar ‘Malu Apa Bossku’.-MY WD