TANAH RATA, JAN 21: Paku dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Itu perumpamaan yang boleh digambarkan kepada tindak-tanduk pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang didakwa menyalahgunakan jentera kerajaan untuk tujuan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jika sebelum ini Barisan Nasional (BN) dituduh berbuat demikian setiap kali pilihan raya, tetapi PH kini dilihat bertindak di luar batasan.

“Saya sangat kesal sebab sebelum ini Pakatan Harapan (PH) banyak menuduh BN menggunakan jentera kerajaan. Tetapi sekarang rakyat boleh melihat sebenarnya PH sendiri yang cakap tak serupa bikin.

“Ini menunjukkan bahawa tindakan PH menggunakan jentera kerajaan semakin bertambah dan sebenarnya mereka lebih teruk lagi,” katanya pada sidang media pada majlis ramah mesra bersama masyarakat orang asli di Kampung Sungai Ruil, di sini, semalam.

Rata, Pahang. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2019.
Beliau mengulas gambar tular di media sosial sejak semalam menunjukkan jentera PH menggunakan kenderaan pacuan empat roda dipercayai milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Jabatan Perhutanan.

Dalam gambar yang tular itu, beberapa kenderaan pacuan empat roda dilihat mempunyai logo JAKOA manakala sebuah kenderaan lain dibaluti dengan bendera PH.

Khairy Jamaluddin juga berkata, penyalahgunaan jentera kerajaan itu bukan kes pertama sepanjang kempen pilihan raya ini, bahkan ia dilakukan sendiri oleh Menteri PH.

“Ini tidak termasuk dengan lawatan oleh Menteri-Menteri PH sempena PRK Cameron Highlands dengan alasan diberi kebetulan sahaja ataupun ia dirancang lebih awal lagi.

“Ini termasuk tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu sendiri menggunakan jentera Angkatan Tentera Malaysia seperti helikopter untuk masuk ke kawasan Cameron Highlands bagi berkempen,” katanya lagi – MY WD