KUALA LUMPUR, NOVEMBER 13: TAHNIAH…Kemenangan kedua skuad Harimau Malaya dalam saingan Kumpulan A Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) Suzuki 2018 melonjakkan semangat barisan anak buah Tan Cheng Hoe sebelum mereka bertandang ke Hanoi, Vietnam Rabu ini.

Cheng Hoe berkata kejayaan pemainnya mengutip tiga mata penuh mengatasi Laos malam tadi begitu berharga dan menjadi tonik terbaik bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Pemain pada hari ini (malam tadi) menunjukkan semangat juang tinggi.

“Walaupun kita ketinggalan seawal minit ketujuh, mereka tidak putus asa dan terus memburu gol.

“Begitu juga pada perlawanan bertemu Vietnam nanti, kami tidak akan bermain secara bertahan selama 90 minit, tetapi kami akan mempamerkan corak permainan menyerang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan Kuala Lumpur.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad kebangsaan cemerlang menewaskan pasukan pelawat 3-1 menerusi dua jaringan Norshahrul Idlan Talaha, dan Mohd Zaquan Adha Abd Radzak manakala gol tunggal Laos dijaringkan Phitchak Kongmathilath.

Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Norshahrul Idlan berkata kemenangan dilakar pasukan kebangsaan adalah hasil kerjasama rakan sepasukan dan corak taktikal yang menjadi.

“Percaturan jurulatih memasukkan tiga pemain, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Ahmad Hazwan Bakri pada separuh masa kedua berjaya menggerakkan bahagian serangan dan memberi masalah kepada pasukan lawan.-MY WD