BANGKOK, MEI 24: Malaysia menempah laluan sukar untuk melangkah ke separuh akhir Piala Thomas 2018 apabila diundi bertemu Indonesia di saingan suku akhir selepas tumbang 2-3 kepada Denmark, sebentar tadi.

Dalam saingan terakhir peringkat Kumpulan D bermula jam 8 malam hingga 1.30 pagi tadi, skuad negara meraih dua mata menerusi perseorangan lelaki, Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia.

Chong Wei berjaya menumbangkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen 21-9, 21-19 sekaligus membangkitkan semangat pemain lain untuk menumbangkan juara bertahan itu.

Bagaimanapun, beregu lelaki yang diharapkan mampu menyumbang mata kedua, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mengenepikan cabaran Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding apabila tewas dalam pertarungan tiga set, 24-22, 15-21,15-21.

Ketika kedudukan terikat 1-1, Zii Jia mencipta kejutan apabila meraih mata kedua negara dengan menumbangkan pemain berpengalaman Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dengan kemenangan straight set, 21-18,21-18.

Perlawanan keempat menyaksikan beregu negara, Aaron Chia-Teo Ee Yi memberi saingan sengit kepada beregu berpengalaman Mathias Boe-Mathias Christiansen, sebelum tunduk 21-19,10-21, 18-21.

Iskandar Zulkarnain menggalas tugas berat untuk memburu mata kemenangan ketiga berdepan pemain perseorangan ketiga Denmark, Jan O Jorgensen.

Di set pertama, Iskandar tenang mengawal permainan sebelum menang 21-16, namun gagal mengekalkan rentak apabila tewas di set kedua dan ketiga, 17-21,14-21, sekaligus menyaksikan Malaysia sekadar muncul naib juara.

Undian suku akhir yang dijalankan selepas itu meletakkan Malaysia berdepan Indonesia, China berdepan Taiwan, manakala Denmark bertemu Korea Selatan.

Juara edisi 2014, Jepun diundi berdepan Perancis yang mengejutkan satu lagi pasukan pilihan, India di peringkat kumpulan untuk melangkah ke peringkat kalah mati.

Perlawanan suku akhir dijadualkan jam 8 malam ini.-MY WD