KUALA LUMPUR, 26 Okt – Jerebu yang melanda Malaysia semenjak dua bulan ini sedia maklum berpunca dari kebakaran hutan di Indonesia.

Jerebu yang kelihatan di latar langit disebabkan oleh zarah terampai di dalam atmosfera. Pada kepekatan yang tinggi, zarahan ini terserak dan menyerap cahaya matahari menyebabkan ketampakan mengufuk mengurang menjadikan atmosfera kelihatan pendar baiduri. Jerebu tidak hanya terbatas di kawasan alam sekitar bandar tetapi dicerap juga di luar bandar.

Zarah yang menyebabkan fenomena jerebu berasal daripada pelbagai sumber, antaranya ialah semulajadi dan antropogen. Sumber semula jadi termasuklah lautan, hutan dan permukaan bumi. Walau bagaimanapun kebanyakan zarahan adalah daripada aktiviti manusia seperti pembakaran secara terbuka, pembukaan tanah, pengunaan kenderaan bermotor dan pembakaran bahan api di dalam dandang industri.

Jerebu yang berasal daripada sumber semula jadi seperti garam laut dan debu tanah adalah tidak memudaratkan manusia. Jerebu nipis dan sementara yang wujud di kebanyakan bandar tidak memberi kesan serius pada kesihatan jangka panjang penduduk. Namun, episod jerebu yang teruk boleh membahayakan kesihatan. Kejadian terdahulu melaporkan peningkatan kejadian iritasi mata dan kerongkong serta kesukaran bernafas kepada mereka yang sensitif.

Bagaimanapun, sistem cerapan dan kaedah bacaan Indeks Pencemaran Udara yang digunakan oleh pihak berwajib di negara ini adalah 10 mikron (PM10) dan teknologi kiraan yang rata-rata telah digunakan di negara lain seperti Singapura adalah PM 2.5.

“Sebenarnya, PM2.5 sudah wujud tiga tahun lalu di Malaysia,” kata Zaid Abdullah yang dipetik dari The Rakyat Post.

Teknologi dari Amerika Syarikat itu telah pun berada di negara ini dan kaedah pengiraan kadar pencemaran udara (IPU) sepatutnya menggunakan kadar PM 2.5.

Progressive Impact Corporation Berhad (PICORP) syarikat Bumiputera telah pun memasang salah satu mesin berkenaan di Sepang International Circuit (SIC).

“Kita telah membawa masuk tiga buah mesin berkenaan dan salah sebuah mesin itu telah diletakkan di SIC Sepang,” kata beliau.

Picorp sentiasa membuka pintu untuk bekerjasama dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, melalui Jabatan Alam Sekitar, agar kepakaran yang dimiliki syarikat itu dapat digunakan memandangkan jerebu melanda negara ini setiap tahun.

“Teknologi yang sedia untuk digunakan bila-bila masa. Melalui PM2.5, kita mahir dalam kaedah pengukiran jirim pencemaran yang lebih halus bagi menggambarkan situasi sebenar dengan terperinci.

“Dan syarikat ini juga bersedia naik taraf dari PM10 kepada PM2.5 untuk semua stesen pengawasan kualiti udara seluruh negara dalam jangka masa tiga bulan,” katanya .

Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar selaku Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar telah mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan pembinaan 13 stesen pengawasan kualiti udara baharu menggunakan kaedah bacaan IPU yang dapat mengukur zarah pada PM2.5 berbanding PM10 yang diguna pakai di 15 stesen sedia ada sekarang. – Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY