PUTRAJAYA, 19 Dis – Pihak berkuasa Filipina mengesahkan kepala yang ditemui di Selatan Filipina milik tebusan rakyat Malaysia, Bernard Then yang dilapor dipenggal kumpulan penculik bulan lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pengesahan itu berdasarkan ujian DNA.

“Kami belum menerima surat rasmi daripada pihak berkuasa Filipina, tetapi mereka secara lisan memaklumkan kepada kami bahawa ujian DNA mengesahkan kepala adalah Bernard,” katanya kepada pemberita selepas beliau menerima Ijazah Doktor Kehormat daripada Universiti LimKokWing pada majlis konvokesyen universiti itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

“Kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina untuk membawa mendiang ke Malaysia. Saya juga ingin merakamkan ucapan takziah saya kepada ahli keluarga Then,” tambahnya lagi.

Then, 39 tahun, seorang jurutera elektrik dari Sarawak telah dijadikan tebusan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dan dibunuh di Selatan Filipina pada 17 November lalu.

Mendiang dipancung kepala oleh kumpulan bersenjata itu di Kepulauan Jolo.

Komander Bersama Pasukan Petugas Sulu, Brigadier Jeneral Alan Arrojado telah mengesahkan Then dipancung.

Pihak berkuasa Malaysia kemudian menyerahkan sampel DNA Then kepada pihak berkuasa Filipina untuk dipadankan dengan identiti badan tanpa kepala yang dijumpai. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY