Pilih Pemimpin Yang Dapat Membawa Suara Orang Kelantan Ke Peringkat Lebih Tinggi – Ahmad Zahid

0
71

JELI, 6 Sept -MEMILIH….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata akan berlaku perbezaan yang cukup besar di Kelantan jika rakyat memilih pemimpin yang betul untuk mewakili dan memimpin mereka terutama dalam membawa suara mereka ke peringkat lebih tinggi.

Sebarang perubahan terutama membabitkan pembangunan fizikal dan ekonomi yang diimpikan di Kelantan perlu bermula dengan impian.

“Saya yakin dan percaya dengan Tok Pa (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed) yang berimpian untuk membangunkan Jeli.

“Saya percaya Tok Pa (yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan) bukan sahaja dapat membangunkan Jeli, malah Kelantan jika Tok Pa dan rakan-rakannya mendapat dukungan daripada seluruh rakyat di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan pelancaran Merdeka Rides anjuran Persatuan Superbikes Malaysia (SAM) di Dataran Makan-Makan Jeli malam tadi.

 

Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO yang menjalankan tugas timbalan presiden parti berkata kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menganaktirikan Kelantan walaupun ia dipimpin oleh pembangkang.

“Tapi kerana kepedulian kita (Putrajaya), berapa banyak peruntukan yang turun ke bawah (diberi kepada Kelantan), tak bersyukur kita kepada Allah kalau (pun) kita tidak berterima kasih kepada yang memberi.

“Dalam keadaan itulah kita harus ketahui sesuatu yang berlaku bukan semata-mata berlaku, mesti ada sebabnya… mesti ada faktor penolak dan faktor penarik,” katanya.

Justeru, katanya beliau akan sering turun padang ke Kelantan bagi membantu Mustapa dan BN Kelantan untuk kembali berkuasa di negeri ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendengar taklimat projek pembesaran Masjid Muhammad 1 di sini, sebelum menunaikan solat Isyak berjemaah di masjid berkenaan.

Pembesaran masjid berkenaan yang dimulakan Julai tahun lalu dan dijangka siap pada Ramadan tahun depan membabitkan kos sebanyak RM1.2 juta termasuk pembinaan sebuah menara. – WD MY