KUALA LUMPUR, 20 Nov – Pinda Pelembagaan……. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan Perlembangaan UMNO dipinda bagi mewujudkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden parti.
Ahmad Zahid berkata, ini bagi memastikan tidak wujud kekangan dalam kalangan Naib Presiden yang diamanahkan menjalankan tugas berkenaan.
Katanya, selain beliau, dua lagi Naib Presiden pernah menjalankan tanggungjawab itu adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Jawatan itu bukan untuk saya, sebaliknya untuk kepentingan parti, mana tahu akan datang Hisham (Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) pula menjalankan tanggungjawab berkenaan.
“Mesyuarat agung luar biasa (EGM) perlu diadakan untuk meminda perlembagaan parti. Ini untuk penyelarasan kerana bagi sayap parti seperti Wanita, Pemuda dan Puteri, ada jawatan Pemangku Ketua bila berlaku kekosongan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah, di sini sebentar tadi.
Mengulas mengenai konvensyen yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu,
Ahmad Zahid berkata ia membuktikan UMNO mengambil kira semua pendapat dalam
membahaskan usul, bukan sahaja dalam kalangan anggota parti malah pandangan
daripada pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan intelektual.
“Berdasarkan pada itu, saya merasakan jurucakap-jurucakap yang akan bahaskan
usul yang telah dipersetujukan bersama, dan juga usul-usul yang mungkin tidak
dibahaskan, tetapi dicatat sebagai usul-usul untuk dikaji pihak kerajaan akan
dapat diteliti sebaik-baiknya,” kata beliau.
 Beliau turut menegaskan jurucakap perwakilan, bebas untuk membahaskan
isu-isu pada perhimpunan agung nanti.
“Kita memandu arah mereka supaya perkara termaktub dalam Perlembagaan
dipatuhi…perkara sensitif terutama menyentuh agama, bangsa dan keturunan
rakyat Malaysia lain tak disentuh.
“Kita mahu semangat Kemelayuan tidak menyebabkan kita ditafsirkan bahawa
kita mengetepikan keperluan lain-lain bangsa, agama dan keturunan,” katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata UMNO sebagai parti yang
menunjangi Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Persekutuan, mengambil kira
kepentingan setiap bangsa dan agama dalam negara ini.
“Kita (UMNO) tidak mahu dituduh rasis, kita juga tak mahu dituduh terlalu
eksklusif dan hanya berada dalam kelompok sendiri.
“Sikap inklusif itu dapat dilihat sepanjang konvensyen sehari ini di mana
UMNO turut mengundang tokoh-tokoh dalam pelbagai bidang, memperlihatkan
kesungguhan parti untuk mengambil kira pandangan bukan saja orang Melayu, tetapi
juga seluruh kaum di negara ini,” katanya.
Ahmad Zahid berkata pendekatan tersebut pada hematnya berbeza dengan
pendekatan yang menjadi amalan parti itu sebelum ini. – WD MY