KUALA LUMPUR 28 Mac – SYOR….. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesyorkan pindaan nama ke atas 12 kawasan Parlimen dan 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam laporan kajian persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pindaan nama itu melibatkan lima kawasan Parlimen di Selangor diikuti Johor (2), Perak (2) serta masing-masing satu kawasan Parlimen di Kedah, Negeri Sembilan dan Melaka.

Menurut beliau, bagi kawasan DUN pula, ia membabitkan sembilan kawasan di Selangor diikuti Johor (8), Melaka (3), Perak (2), Kelantan (2), Negeri Sembilan (2), Kedah (1), dan Terengganu (1).

“Dalam hal ini, SPR mengesyorkan bahawa tiada perubahan ke atas bilangan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Usul-usul Mengenai Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-bahagian Pilihan Raya Persekutuan Dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018.

kerajaan tidak mengganggu atau mempengaruhi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga sentiasa menghormati keputusan yang dibuat oleh SPR untuk kebaikan semua pihak  serta demi kepentingan rakyat dan negara.

“Dengan demikian, adalah diharapkan agar syor-syor tersebut dapat membantu wakil-wakil rakyat untuk menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap dan berkesan kepada semua pemilih dalam bahagian pilihan raya masing-masing.

“Ini memberi kelebihan kepada wakil-wakil rakyat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan masing-masing, sekali gus menafikan persepsi dan dakwaan yang tidak benar lagi berasas bahawa syor-syor ini hanya menguntungkan sesetengah pihak sahaja,” katanya. – WD MY