PUTRAJAYA, 2 Mac – Pindaan terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pembocor rahsia kerajaan tidak mensasarkan wartawan yang menulis berita mengikut etika.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, berkata cadangan itu menumpukan kepada kesalahan membocor rahsia kerajaan yang dibimbangi boleh menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara.

Katanya, ia hanyalah di peringkat cadangan kepada kerajaan dan terbuka untuk tindakan lanjut sebelum diluluskan.

“Semua orang boleh bagi pandangan termasuk saya tetapi pandangan itu terserahlah kepada kerajaan sama ada untuk terima atau tidak. Jabatan kami tidak membuat sebarang dasar.

“Saya juga ingin menjelaskan tidak menyekat kebebasan wartawan menulis laporan mengikut fakta yang sahih serta etika kewartawanan,” katanya selepas bertemu dengan barisan Exco Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) di pejabatnya di sini, hari ini.

Sehubungan itu, katanya, wartawan tidak perlu bimbang mengenai cadangan pindaan itu kerana ia tidak menjejaskan profesyen mereka dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan dan rakyat.

Dalam pertemuan lebih sejam itu, NUJM turut menyampaikan memorandum yang menyenaraikan 10 perkara bagi melindungi hak wartawan menulis laporan tanpa rasa takut dan bimbang dikenakan tindakan OSA.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina memetik Mohamed Apandi sebagai berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terbabit membocorkan rahsia kerajaan dan negara dan mereka yang melaporkan berita mengenai rahsia itu.

Peguam Negara berkata beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Mohamed Apandi juga dilaporkan sebagai berkata wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka peroleh juga boleh dikenakan tindakan itu. – Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY