KUALA LUMPUR, 25 Feb – Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran
Selangor (PITAS) sedia membantu pihak berkuasa agama dalam menyekat fahaman yang
dikaitkan dengan militan termasuk kumpulan IS, daripada meracuni pemikiran
pelajar tahfiz di negara ini.

Pengerusinya Ashri Lateh Al-Muqril berkata beliau telah memaklumkan perkara
tersebut kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan perkara tersebut akan
dibincangkan dengan 130 pengusaha sekolah Tahfiz di Selangor yang berdaftar
dengan PITAS pada satu mesyuarat khas bulan depan.

“Kita tidak boleh memandang ringan perkara ini walaupun ia boleh dianggap
sebagai sebuah kes terpincir dan hanya membabitkan seorang pelajar aliran
tahfiz,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Pada Rabu lepas, seorang gadis berusia 14 tahun ditahan di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disyaki cuba menyertai kumpulan militan
IS di Syria.

Gadis yang berasal dari Muar, Johor itu merupakan pelajar pengajian
agama di sebuah institut tahfiz di Shah Alam.

Beliau berkata daripada maklumat yang diperolehi, PITAS mendapati bahawa
sekolah tahfiz tersebut tidak berdaftar dengan PITAS namun pihaknya sedia
membantu sekolah tersebut mahupun sekolah lain bagi menyekat fahaman songsang
jihad IS daripada merebak di negara ini.

Sebelum ini, Ashri memberitahu Bernama bahawa 160 sekolah tahfiz yang
berdaftar di Selangor termasuk 130 yang di bawah PITAS tidak pernah memberi
galakan kepada pelajar mereka untuk menyertai mana-mana kumpulan militan
termasuk IS.

Beliau yang menolak sekeras-kerasnya tanggapan kononnya institusi
pendidikan tahfiz di Selangor terlibat secara langsung dalam penyebaran ideologi
jihad militan IS di negara ini, berkata sekolah-sekolah berkenaan menggunakan
sukatan pelajaran yang disediakan oleh JAIS.

Katanya ideologi kumpulan militan itu bukan sahaja bercanggah dengan
falsafah pendidikan tahfiz malah terpesong jauh daripada ajaran agama Islam
sebenar.-Bernama

LEAVE A REPLY