KOTA KINABALU, MAC 21:PJSR… Program Jualan Sentuhan Rakyat (PJSR) adalah bukti komitmen kerajaan dalam usaha mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.

Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, berkata keprihatinan kerajaan itu bukan saja dapat dinikmati oleh masyarakat bandar tetapi juga rakyat di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Beliau memberitahu, usaha itu bukan setakat dapat membantu rakyat malah, membantu merancakkan ekonomi dan meningkatkan kuasa beli dalam kalangan rakyat.

“Usaha kerajaan pusat menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ini amat dialu-alukan terutamanya rakyat di luar bandar.

“Karnival ini yang sangat dinanti-nantikan rakyat akan diperluaskan ke seluruh negeri Sabah,”katanya ketika berucap pelancaran PJSR oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Bandaraya, di sini, hari ini.

Musa berkata, program itu juga dapat memberi kesedaran kepada rakyat bahawa harga barangan sebenarnya tidak tinggi namun sebaliknya dimanipulasikan oleh orang tengah untuk mengaut keuntungan lebih.

“Perdana Menteri sentiasa berusaha untuk membantu rakyat, ini bukti kerajaan sangat prihatin terhadap nasib rakyat.

“Malah dalam usaha memastikan harga barangan tidak meningkat, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM70 Juta untuk membayar kos penghantaran ke luar bandar supaya harga dapat dikawal,”katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata, PJSR adalah satu jenama yang diilhamkan oleh Perdana Menteri untuk membantu rakyat di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sangat serius dalam usaha menurunkan harga barang termasuk akan mengambil tindakan terhadap peniaga yang menaikkan harga sesuka hati.

“Kita sentiasa menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHP) 2011 untuk mengambil tindakan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab.

“Ini bertujuan memastikan harga barang keperluan sentiasa rendah dan tidak membebankan rakyat,” katanya. – MY WD