SHAH ALAM, 20 Julai – CALON….. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ibrahim mengumumkan Mohd Zawawi Ahmad Mughni, 48 sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Biarpun Pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun itu tidak begitu terkenal di luar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, nama Mohd Zawawi sememangnya tidak asing, terutama dalam kalangan mereka yang menetap di Jalan Kebun.

Namanya diumumkan Dr Wan Azizah pada Majlis Pelancaran Jentera Keadilan Pilihan Raya Kecil N49 DUN Sungai Kandis, di Padang Rakyat Jalan Kebun,malam tadi.

Turut kelihatan Naib Presiden PKR dan juga Menteri Besar Selangor, yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis, Amirudin Shari, Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya II, Azmizam Zaman Huri.

Ketika berucap, Dr Wan Azizah berkata, beliau mahu semua jentera bekerjasama demi mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis kepada PKR.

“Ramai rasa mereka layak dan boleh menang. Saya tahu ramai tapi satu saja yang dapat kita letak sebagai calon PKR.

“Kita mahu kekalkan kemenangan PKR di Sungai Kandis. Saya mohon kita bekerja keras tidak kira sama ada dipilih atau tidak tapi kita bekerja bersama demi kejayaan PKR dan Pakatan Harapan,” katanya.

Mohd Zawawi yang berkelulusan Sarjana Muda (Bahasa Arab) dari Universiti Al Azhar, Mesir, pada 1995 dan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) dari Universiti Malaya pada 2005, sudah terbabit dengan politik sejak zaman Reformasi lagi.

Beliau yang bergerak sebagai penceramah dalam kempen dan program kesedaran, membawa pelbagai isu antaranya membabitkan Islam dan Melayu, keadilan untuk semua, penyelewengan dan rasuah.

Beliau menjadi ahli PKR secara rasmi pada 2012 selain terbabit dengan banyak siri program ceramah dan latihan ahli serta pemimpin PKR di Cabang Kota Raja serta Ranting Jalan Kebun.

Mohd Zawawi juga adalah Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama Ahli Jawatankuasa Biro Pendidikan PKR Pusat. – WD MY